ABDULLAH mengagihkan kismis kepada pelajar sebelum menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh, hari ini. Foto SYAMSI SUHAIMI
Hazira Ahmad Zaidi
cnews@nstp.com.my


JABATAN Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan menetapkan 15 pusat peperiksaan gantian di seluruh negeri sebagai persediaan untuk menghadapi musim tengkujuh yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Timbalan Pengarahnya Abdullah Mat berkata, pihaknya sudah menetapkan 10 sekolah di daerah Kota Bharu, dua di Pasir Mas dan masing-masing sebuah di Tumpat, Jeli dan Gua Musang untuk dijadikan pusat peperiksaan gantian.

Katanya, sebanyak 62 daripada 279 pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) berisiko terdedah kepada banjir.

“Dalam masa sama, kami turut menjalinkan kerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam mesyuarat Ops Payung pada 21 Oktober lalu.

“Kerjasama strategik ini dijalin bersama agensi penyelamat bagi memastikan calon tidak tercicir dan dapat menduduki peperiksaan berkenaan tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam sidang media ketika lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh, Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Pengetua SMK Ketereh Mohd Zin Halim.

Abdullah berkata, pihaknya juga akan memastikan pelajar yang terkesan akibat banjir ditempatkan di asrama sekolah supaya mereka dapat menduduki peperiksaan dengan tenang.

“Alhamdulillah, pada hari pertama peperiksaan diadakan di negeri ini ia berjalan dengan lancar kerana keadaan cuaca baik selain tiada tanda banjir besar akan berlaku.

“Pada tahun ini, JPN mensasarkan 90 peratus calon SPM layak mendapat sijil berbanding tahun lalu hanya memperoleh 87 peratus,” katanya

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata, seramai 29,818 calon SPM menduduki peperiksaan itu di 279 pusat peperiksaan di seluruh negeri pada tahun ini.

Katanya, manakala seramai 14,793 calon menduduki peperiksaan STPM di 59 pusat peperiksaan di seluruh negeri membabitkan 1,359 petugas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 11:18 AM