SEBAHAGIAN calon mengaminkan doa sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini di Maahad Tahfiz Negeri Pahang. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


SERAMAI 73 calon berkeperluan khas (CBK) antara 24,424 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pahang bermula hari ini.

Pengarah Pendidikan Pahang, Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata, semua calon menduduki peperiksaan berkenaan di 227 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

“Peperiksaan bertulis SPM 2018 bermula hari ini hingga 13 Disember ini. Sebanyak 227 pusat peperiksaan disediakan untuk mengendalikan peperiksaan ini yang membabit seramai 1,722 petugas.

“Seramai 73 CBK turut menduduki peperiksaan hari ini dengan pelbagai jenis kekurangan seperti masalah pembelajaran, kurang upaya penglihatan, pertuturan dan pendengaran.

“Mereka diberi keperluan tambahan seperti tambahan masa, jurutulis, dan cetakan besar mengikut kategori atau keperluan,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, seramai 310 orang calon Orang Asli di negeri ini turut menduduki SPM pada hari ini.

“Kita juga menggariskan pelan tindakan khas bagi menangani bencana banjir jika berlaku di Pahang. Semua persediaan di peringkat jabatan dan sekolah sudah diambil sekiranya bencana ini berlaku.

“Selamat berjuang kepada semua calon SPM 2018 dan saya mendoakan semua calon dapat menjawab dan memperoleh keputusan yang cemerlang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 10:44 AM