CALON SPM membaca buku sebelum memasuki dewan peperiksaan bagi menduduki subjek Bahasa Melayu kertas 1 Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Balqis Jazimah Zahari
cnews@nstp.com.my


SERAMAI 36,072 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Perak bermula hari ini hingga 13 Disember.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, kesemua mereka menduduki peperiksaan itu di 325 pusat peperiksaan di negeri berkenaan.

Beliau berkata, daripada keseluruhan, seramai 33,916 calon adalah calon kategori sekolah kerajaan manakala 2,156 calon persendirian.

Katanya, selain itu seramai 111 calon mendaftar sebagai calon berkeperluan khas.

"Kali ini, tiga calon terpaksa menduduki peperiksaan di dua hospital di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat tinjauan hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di Ipoh, hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Anderson, Razak Malek Taharim.

Abdul Aziz berkata, seramai 2,595 petugas terdiri daripada Ketua Pengawas dan Penyelia Kawasan ditugaskan bagi memastikan peperiksaan itu berjalan lancar.

"Sebanyak 42 bilik kebal dengan 10 daripadanya adalah bilik kebal utama," katanya.

Sementara itu, Razak Malek berkata, seramai 185 calon menduduki peperiksaan itu di SMK Anderson.

"Selain itu, seramai 45 calon menduduki peperiksaan secara persendirian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 9:04 AM