JENAZAH Safein dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun selepas terbabit kemalangan di Kilometer 5.8, Jalan Dungun-Bukit Besi dekat Kampung Che Lijah, Dungun, malam tadi. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


“PATUTLAH hari ini saya teringat sangat pada ayah, rupanya dia nak pergi meninggalkan kami,” kata Fandy Safein, 35, selepas ayahnya maut dalam kemalangan di Kilometer 5.8, Jalan Dungun-Bukit Besi di Kampung Che Lijah, Dungun, malam tadi.

Dalam kejadian 7 malam itu, Safien Sulaiman, 62, maut selepas motosikal Yamaha 125Z ditunggangnya dirempuh motosikal lain di tempat kejadian.

Mangsa yang parah di bahagian kepala dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Dungun dan disahkan meninggal dunia 15 minit selepas itu.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dikatakan cuba memasuki simpang kanan jalan.

Pada masa sama, motosikal SYM ST200 ditunggang Anuar Musa, 47, datang dari arah belakang dan gagal mengelak sebelum merempuh mangsa.

Fandy berkata, ayahnya itu yang tinggal bersamanya di Kampung Binjal sudah tiga hari demam dan tidak keluar rumah.

“Saya ke klinik pada pagi tadi untuk pemeriksaan kandungan isteri dan sepanjang berada di klinik, saya asyik teringat ayah di rumah.

“Selepas pemeriksaan selesai, saya pulang ke rumah pada 2 petang dan minta isteri segera memasak untuk ayah,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun.

Beliau berkata, dia mengejutkan ayahnya untuk makan bersama, namun ayahnya itu tidak selera dan minta dia makan terlebih dahulu.

Menurutnya, pada 5 petang, dia sedar ayahnya tiada di rumah dan mulai risau kerana dia masih demam serta sudah tiga hari tidak keluar rumah.

“Saya menyangka dia keluar minum bersama rakannya tidak jauh dari rumah.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan ayah terbabit dalam kemalangan pada 7 malam dan terus bergegas ke Hospital Dungun.

“Sebaik tiba pegawai perubatan memaklumkan ayah telah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, jenazah mangsa selepas dibedah siasat dan diserah kepada keluarga mangsa pada 10 malam.

Beliau berkata, seorang lagi penunggang motosikal hanya cedera ringan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 11:40 PM