MASZLEE Malik berucap pada majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-34 di Gombak. FOTO Asyraf Hamzah
Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@nstp.com.my


MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik sudah memutuskan untuk melepaskan jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Sabtu lalu.

Menerusi satu kenyataan di Facebook, Maszlee berkata, keputusan itu dibuat selepas Majlis Konvokesyen UIAM Ke-34 berakhir.

"Sebenarnya, saya telah pun memutuskan untuk melepaskan jawatan Presiden UIAM, iaitu sebaik selepas istiadat konvokesyen UIAM berakhir dan proses pelantikan pengganti saya selesai.

"Saya percaya proses pelantikan pengganti akan selesai akhir November 2018," katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Pada Sabtu lalu, Maszlee ketika ditanya mengenai statusnya selaku Pengerusi UIAM enggan mengulas desas-desus kononnya beliau akan melepaskan jawatan itu, selain menyifatkan wartawan yang bertanyakan soalan sebagai tidak beretika dan menghormati majlis konvokesyen universiti itu.

Maszlee dilantik sebagai Presiden UIAM ketujuh selama tiga tahun selepas diberi perkenan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah pada September lalu, bagi menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai lepas.

Terdahulu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menasihatkan Maszlee segera melepaskan jawatan berkenaan, seperti yang diputuskan Kabinet.

Maszlee berkata, beliau menghormati keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kabinet berhubung isu pelabtikannya sebagai Presiden UIAM.

"Pada masa yang sama, saya menghormati kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 10:55 PM