Nur Lela Zulkipli
nurlela@nstp.com.my


‘JANJI’ dua ahli Parlimen untuk melawat pasar bersama bagi meninjau harga barang hari ini, tertangguh buat masa ini.

Ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat hari ini, Datuk Johari Abdul (PH PKR-Sungai Petani) dan Datuk Bung Moktar Radin (BN UMNO-Kinabatangan) secara spontan sepakat ke pasar bersama bagi tinjauan harga barang.

Cadangan itu tercetus selepas Johari mendakwa harga barang harian turun berikutan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), namun dibantah oleh Bung Moktar.

Keadaan itu menyebabkan kedua-duanya bersetuju untuk turun ke pasar bagi meninjau harga barang dan mendapat gambar sebenar.

Bagaimanapun, Johari ketika dihubungi malam ini bagi mendapatkan lokasi dan masa kunjungan berkenaan berkata, perancangan berkenaan terpaksa ditangguh buat sementara waktu.

"Saya perlu pulang ke Kedah untuk menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Saya belum sempat jumpa Datuk Bung Moktar untuk berbincang mengenai kunjungan ke pasar.

"Lepas balik ke Kuala Lumpur, kami akan putuskan bersama," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun ketika dihubungi NSTP, malam tadi.

Bagaimanapun, Bung Moktar tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen setakat 9 malam tadi.

Berita berkaitan:

  • 'Jom kita turun ke pasar'
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 9:48 PM