(Gambar fail) Maszlee semasa berucap pada Majlis Konvokesyen UIAM ke-34 di UIAM Gombak, kelmarin. FOTO Asyraf Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor
cnews@nstp.com.my


KABINET sudah membuat keputusan yang jelas mahu Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik supaya segera melepaskan jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Maszlee dinasihatkan supaya segera mencari pengganti yang bersesuaian untuk jawatan berkenaan.

“Saya fikir beliau sudah memberi respon yang dia memerlukan masa, saya hendak menasihatkan yang dia sepatutnya meletakkan jawatan secepat mungkin dan dalam tempoh itu, cari pengganti yang bersesuaian untuk ambil alih,” katanya yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-undang (JPU) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Putrajaya, hari ini.

Kelmarin Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam enggan mengulas mengenai desas-desus beliau akan melepaskan jawatan Presiden UIAM dengan memaklumkan perkara berkenaan akan dijawab dalam sidang akhbar lain dan bukannya pada majlis konvokesyen UIAM.

Sementara itu, berhubung pelantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhyiddin tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Saya tidak tahu sama ada keputusan itu dibuat selepas membuat konsultasi dengan Perdana Menteri atau tidak. Saya tidak begitu pasti dan saya tidak dapat mengulas lanjut,” katanya.

Ditanya mengenai permohonan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) untuk mendapatkan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Muhyiddin berkata, perkara itu sedang diteliti dan akan diputuskan oleh ROS.

Menurutnya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada ROS untuk meneliti permohonan dan sebarang proses kelulusan bagi GPS termasuk mengenai PUTRA.

“ROS mungkin akan mengeluarkan surat dan memutuskan bahawa ia harus diluluskan atau sebaliknya,” katanya.

Sebelum ini, GPS yang dianggotai 14 Ahli Parlimen masih menunggu kelulusan pendaftarannya oleh ROS menyebabkan logo gabungan itu masih belum boleh digunakan.

Sebelum ini, Presiden Penaja PUTRA, Datuk Ibrahim Ali, merayu ROS supaya mempercepatkan kelulusan pendaftaran parti itu.

Menurut Ibrahim, permohonan pendaftaran parti sudah dibuat secara dalam talian pada 13 Ogos lalu, namun hingga kini proses kelulusannya masih tiada perkembangan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, pihaknya akan memutuskan permohonan Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju untuk memasuki BERSATU.

“Parti kita mempunyai prinsip dan kita akan hanya menerima mereka yang kita fikir berpegang kepada perjuangan parti selain tidak ada rekod-rekod buruk.

“Bukan setiap permohonan itu automatik diterima, kalau kita anggap dia tidak baik, maka kita akan tolak permohonan itu. Ali Tinju mungkin banyak orang kenal kerana bukan mengenai cerita yang bagus.

“Dia dah buat permohonan tetapi kita akan putuskan dan saya dah beritahu, kalau tidak layak. Kalau tidak sesuai, kita tolaklah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 7:40 PM