KEADAAN mayat mangsa yang ditemui tergantung di sebuah bilik sewa di Jalan Satok, Kuching, semalam. FOTO Ihsan JBPM
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my


MISTERI bau busuk dari bilik sewa di sebuah rumah kedai di Jalan Satok, Kuching terungkai selepas mayat seorang lelaki ditemui tergantung, malam semalam.

Mayat lelaki warga Indonesia berusia 34 tahun itu ditemui dalam keadaan hampir reput, jam 9.45 malam.

Difahamkan, penghuni bilik sewa lain di premis berkenaan curiga dengan bau busuk dari bilik lelaki itu sejak beberapa hari lalu sebelum menghubungi polis dan bomba untuk membuka pintu bilik.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata, lelaki terbabit menggantung dirinya menggunakan kain di ruang bilik berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan, polis percaya lelaki terbabit sudah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah mula mereput.

“Keterangan yang diperoleh daripada penyewa lain mendapati lelaki terbabit sudah menyewa sejak enam bulan lalu, namun tidak mengetahui pekerjaannya.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian juga tidak menemui sebarang unsur jenayah dan polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Katanya, polis akan menghubungi Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching untuk urusan pengebumian lelaki terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 11:37 AM