NUR Atiqah bersama rakan sukarelawan dan pelarian Rohingya, Syria dan Palestin.
Norizuan Shamsuddin
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Dia tidak pernah mengeluh walaupun terpaksa mengorbankan masanya untuk memberi khidmat kepada pelarian Rohingya yang berada di negara ini mendapatkan ilmu.

Sebaliknya dia berpuas hati kerana dapat membantu kanak-kanak dan remaja pelarian berkenaan untuk mendapatkan pendidikan.

Malah, adakalanya duit poket sendiri terpaksa dikeluarkan bagi membeli alat tulis, buku dan fotostat modul pelajaran demi memastikan mereka memperoleh ilmu pengetahuan.

Perkara terbabit dilakukan Nur Atiqah Talkah, 28, secara sukarela dan ikhlas tanpa mengenakan bayaran bagi setiap tuisyen yang diadakannya.

Menurut Nur Atiqah, dia meminati aktiviti sukarelawan membantu masyarakat tidak berkemampuan selepas mula membabitkan diri sebagai sukarelawan melalui Persatuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan Students Community Law Club sewaktu menuntut dalam jurusan Ijazah Undang-Undang di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam pada 2011.

Dia yang kini bertugas sebagai peguam meneruskan minatnya itu dengan mendaftarkan diri sebagai sukarelawan beberapa badan bukan kerajaan termasuk Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia Negeri Selangor (GEMA).

“Idea untuk mengadakan tuisyen kepada pelajar Rohingya ini tercetus rentetan daripada program Broga For Palestin, Syria dan Rohingya yang kami laksanakan bersama GEMA Selangor Backpackerz di mana kami membawa sebahagian daripada pelajar terbabit mendaki puncak Bukit Broga, Semenyih pada 2017.

“Susulan itu, saya bersama sahabat seperjuangan merancang mengadakan program lanjutan yang dinamakan sebagai Tuisyen Ikhlas kepada pelajar terbabit memandangkan ada antara mereka tidak pandai bercakap bahasa Melayu dan Inggeris.

“Tuisyen Ikhlas ini hasil cetusan Program Street Ngaji bersama sahabat Jalanan Chow Kit yang dilaksanakan pada setiap malam Isnin bermula pada 2016.

“Bermula awal tahun ini pada setiap petang Sabtu, kami mengadakan tuisyen bagi mengajar subjek bahasa Melayu, Inggeris dan Matematik kepada 120 pelajar warga Rohingya berusia empat hingga 18 tahun yang belajar al-Quran di sebuah madrasah di Pinggiran Putra Seri Kembangan, Selangor,” katanya.


NUR Atiqah

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, semua pelajar terbabit juga mudah menerima apa yang mereka ajarkan disebabkan mereka tahfiz dan biasa menghafal al-Quran.

Katanya, program dilaksanakan itu turut menarik minat ramai sukarelawan bersama membantu pihaknya dengan menjadi tenaga pengajar.

“Cabaran tetap ada terutama daripada sudut bahasa kerana ada antara mereka tidak tahu bercakap menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris.

“Bagi memudahkan komunikasi antara dua pihak, kami belajar serba sedikit bahasa mereka selain meminta pelajar yang tahu berbahasa Melayu menjelaskan kepada pelajar berkenaan.

“Selain itu, kita turut menghadapi cabaran mendapatkan sukarelawan yang konsisten hadir pada setiap minggu kerana ia memerlukan komitmen tinggi.

“Bilangan sukarelawan yang membabitkan diri bersama program ini menjangkau 100 orang dan kita faham masing-masing ada komitmen tersendiri. Alhamdulillah dengan izin Allah, kelas Tuisyen Ikhlas dapat dilaksanakan walaupun adakalanya bilangan sukarelawan tidak ramai,” katanya.

Nur Atiqah berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan sumbangan tenaga dan masa daripada orang ramai menjadi sukarelawan.

“Mereka yang berminat boleh menghubungi kami melalui Facebook Gema Selangor,” katanya.


NUR Atiqah aktif membantu pelarian Rohingya, Syria dan Palestin memberikan tuisyen secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 10:45 AM