RAFIZI Ramli. FOTO arkib NSTP
Fairuz Zaidan; Mohd Hilmie Hussin; Nur Saliawati Salberi dan Amir Mamat

CALON Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli nampaknya masih belum mahu menaikkan 'bendera putih' kepada pencabarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali apabila mengungguli pemilihan semula cabang PKR di Melaka, hari ini.

Mohd Rafizi terus selesa mendahului penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR itu dengan kelebihan 229 undi, selain mengungguli keputusan di empat daripada enam cabang PKR negeri ini bagi merebut jawatan nombor dua dalam parti.

Secara keseluruhan, Mohd Rafizi yang mengumumkan pasukan 'Reformasi 20 Tahun' memperoleh 2,099 undi, manakala Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi tewas tipis dengan 1,870 undi.

Keputusan tidak rasmi pemilihan PKR di negeri ini menyaksikan Mohd Rafizi menguasai empat cabang iaitu di Cabang Masjid Tanah, Cabang Alor Gajah, Cabang Tangga Batu dan Cabang Kota Melaka.

Manakala, penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin pula menguasai Cabang Bukit Katil dan Cabang Jasin.

Bagi Cabang Masjid Tanah Mohd Rafizi memenangi sebanyak 212 undi berbanding Mohamed Azmin 155 undi; Cabang Alor Gajah sebanyak 681 undi (Mohamed Azmin 401 undi); Cabang Tangga Batu sebanyak 550 undi (Mohamed Azmin 480 undi); dan Cabang Kota Melaka sebanyak 178 undi (Mohamed Azmin 175 undi).

Manakala, Mohamed Azmin menguasai Cabang Bukit Katil dan Jasin masing-masing sebanyak 330 undi dan 329 undi berbanding Mohd Rafizi 284 undi dan 194 undi.

Semua enam cabang PKR di Melaka terpaksa mengadakan semula pemilihannya susulan keputusan pada 20 Oktober lalu terpaksa digantung oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) akibat masalah teknikal pada sistem e-undi di semua cabang di negeri ini.

Sementara itu, Mohamed Azmin di Twitter milik beliau mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua anggota PKR yang bersama meneruskan agenda reformasi tulen, sekali gus membayangkan beliau kekal sebagai Timbalan Presiden PKR bagi penggal 2018-2021.

"Alhamdulillah dan syukur. Terima kasih kepada semua anggota KEADILAN yang bersama membingkai muafakat untuk meneruskan agenda reformasi tulen," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi PKR Melaka, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menerusi Twitternya turut mengucapkan terima kasih kepada pasukannya di Jasin yang membantu kemenangan beliau di cabang berkenaan.

"Terima kasih kepada pasukan kerja saya di Jasin yang sentiasa berikhtiar berkempen dan membantu kemenangan saya sebagai Ketua Cabang. Ayuh kita isi kemenangan ini dengan kerja yang lebih gigih memberi khidmat kepada rakyat Jasin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 12:49 AM