AZMIN Ali. FOTO arkib NSTP
Muhd Amirul Faiz Ahmad dan Goh Pei Pei

DATUK Seri Mohamed Azmin Ali sehingga 6.30 petang tadi mendahului dengan majoriti 1,258 undi, membabitkan 18 daripada keseluruhan 29 cabang yang melakukan pemilihan PKR di Sarawak bagi jawatan Timbalan Presiden.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi memperoleh 2,359 undi, berbanding pencabarnya, Mohd Rafizi Ramli, meraih 1,101 undi.

Dari 18 cabang yang sudah selesai pengiraan, Mohamed Azmin, menang di 14 cabang, berbanding Mohd Rafizi, menang empat cabang sahaja.

Penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR itu menang di cabang Bandar Kuching; Kota Samarahan; Mas Gading; Batang Lupar; Batang Sadong; Lanang; Saratok; Hulu Rajang; Lawas; Baram; Kanowit; Bintulu; Selangau dan Mukah.

Mohd Rafizi sekadar berpuas hati menang di Serian; Miri; Sibuti dan Limbang.

Keseluruhannya, Sarawak mempunyai 29 cabang PKR dengan 22 cabang melakukan pemilihan hari ini, manakala baki tujuh cabang lagi pada esok.

Pemilihan PKR di Sarawak menjadi tumpuan kerana disifatkan sebagai faktor penentu dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden parti itu antara Mohamed Azmin dan Rafizi.

Cabang Julau di Sibu, menjadi cabang paling panas kerana terpalit kontroversi keahliannya yang mendadak naik berkemungkinan besar menjadi antara penyumbang undi terbesar bagi Mohd Rafizi untuk terus merapatkan defisit undi berbanding Mohamed Azmin.

Bagaimanapun, atas faktor teknikal, keputusan di Cabang Julau, tidak dapat diumumkan kerana sistem e-voting di pusat pemilihan gagal berfungsi kerana disyaki 10 unit tablet dicerobohi perisian Prey Anti- Theft.

Pemilihan PKR di Sarawak disifatkan sebagai 'kuasa penentu' dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden antara Mohamed Azmin dan Rafizi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 7:16 PM