JULAU 10 NOVEMBER 2018. Calon Ketua Cabang Julau, Larry Sng (dua dari kiri) menunjau proses pengiraan undi sebelum di gantung sementara akibat masalah teknikal di Kompleks Sukan Julau, Julau. NSTP/MOHD RADZI BUJANG
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


PROSES pemilihan PKR di Cabang Julau yang disifatkan sebagai cabang penentu nasib Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pencabarnya bagi jawatan Timbalan Presiden parti, Rafizi Ramli, berjalan lancar sehingga pusat pengundian ditutup 4.30 petang, hari ini.

Hanya berlaku sedikit kekecohan berlaku pagi tadi apabila seorang calon yang bertanding bagi jawatan Timbalan Pengerusi Cabang Julau diarahkan keluar dewan selepas tercetus pertikaman lidah dengan petugas keselamatan parti.

Bagaimanapun, pertengkaran antara calon terbabit, Wong Hong Yu dengan petugas keselamatan yang didatangkan dari ibu pejabat PKR, berjaya ditenteramkan anggota polis yang berkawal di luar dewan.

Kontroversi tercetus di cabang berkenaan apabila jumlah ahlinya meningkat mendadak daripada 603 kepada 13,000 orang pada Jun lalu.

Berikutan itu, perhatian seluruh negara terarah ke PKR Cabang Julau yang disifatkan penentu nasib Mohamed Azmin yang sebelum ini mendahului Rafizi dengan lebih 2,500 undi.

Pusat pengundian di Kompleks Sukan Julau ditutup pada 4.30 petang, namun sehingga 5.30 petang, keputusan pemilihan belum dapat diumumkan.

Ketua Pengawas Pemilihan Cabang Julau, Mohd Azahari Daud berkata, penangguhan keputusan itu terpaksa dilakukan akibat masalah teknikal.

"Semua data pengundian terpaksa dihantar ke pusat teknologi maklumat Jawatankuasa Pusat Pemilihan (JPP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 6:33 PM