Anwar hadir pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah Sempena Forum Ekonomi China Sedunia. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Manirajan Ramasamy dan Luqman Arif Abdul Karim
cnews@nstp.com.my

CHINA wajar melihat Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan dan perdagangan, selari perubahan tampuk pemerintahan yang menyaksikan negara kini lebih telus dalam urus tadbirnya.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menyuarakan pendirian itu berkata Malaysia melakar sejarah pada 9 Mei lalu apabila berupaya mengubah landskap pentadbiran pasca pemerintahan Barisan Nasional (BN) lebih 60 tahun.

“Kita sudah mengharungi pelbagai cabaran dan menempa perubahan, malah negara ini sangat unik kerana rakyat Malaysia kata cukup-cukuplah dengan isu perkauman dan rasuah.

“Kali ini kita bina Malaysia baharu,” katanya pada ucaptama selepas menerima Anugerah Kebajikan Khas sempena Forum Ekonomi Cina Sedunia, di Serdang, hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Pengerusi Jawatankuasa Penganjur WCEF, Tan Sri Dr Michael Yeoh; Pengerusi bersamanya merangkap Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dan Duta Khas Malaysia ke China, Tan Kok Wai.

Mengulas lanjut, Anwar yang bakal diangkat sebagai Perdana Menteri Kelapan menyifatkan dirinya tidak layak menerima sebarang anugerah atau penghargaan bagi memperingati kejayaan mengubah tampuk pentadbiran negara.

“Ramai lagi rakan seperti Lim Kit Siang (Ahli Parlimen Iskandar Puteri dan bekas Ketua Ahli Parlimen DAP) dan lain-lain yang memerah keringat mereka menabur bakti kepada negara.

“Saya hanya banyak berehat di penjara,” katanya.

Anwar yang juga bakal Presiden PKR berkata, perubahan kini jelas dicerminkan dalam strata masyarakat apabila tiada isu berbangkit yang menyentuh pertindihan elemen perkauman.

Perkembangan positif itu, katanya, hasil kerjasama dan tekad rakyat Malaysia untuk mengetepikan perbezaan warna kulit dan perkauman demi meraih manfaat bersama dengan menukar kerajaan.

“Seperti dikatakan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad), kita mesti kongsi kekayaan dan memperakui peranan rakyat berbilang kaum dan bangsa di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 12:31 AM