PENDUDUK Kampung Terusan, Yah Umat, 65, meniti jambatan buluh yang dibina sebagai persiapan gelombang banjir kedua di sekitar Rantau Panjang. FOTO Sharifah Mahsianah Abdullah.
Sharifah Mahsinah Abdullah
sharifah@nstp.com.my


GELOMBANG pertama banjir di Kelantan berakhir semalam, tetapi penduduk tinggal di kawasan rendah di Rantau Panjang mula mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi gelombang kedua.

Mangsa banjir dari beberapa kampung sepanjang Sungai Golok mengambil langkah waspada dengan membina pondok dan titian kecil menghubungkan jalan raya dan rumah mereka.

Antara kampung kelihatan membina titian menggunakan batang buluh dan pondok kayu kecil ialah Kampung Terusan dan Kampung Lanchang.

Penduduk, Mohd Nawi Abdullah, 48, berkata dia membina titian kecil dengan bantuan anak lelakinya berusia 18 tahun semalam.

“Seperti biasa apabila banjir melanda, kampung kami akan ditenggelami air antara satu hingga tiga meter dan kadang-kadang jika banjir besar, air akan memasuki rumah.

“Pada masa itu, amat sukar bagi kami untuk keluar ke pekan berdekatan bagi mendapatkan bekalan makanan. Oleh itu, kami membuat keputusan untuk membina titian atau jambatan kecil.

“Kami mula membinanya sejak lima tahun lalu setiap kali musim tengkujuh tiba. Saya dan anak akan ke semak berdekatan untuk mendapatkan batang buluh,” kata bapa kepada empat anak itu.

Pekerja kampung yang berusia 48 tahun itu berkata, dia dan anaknya mengambil masa sehari menyiapkan titian itu.

Penduduk Kampung Terusan, Hairie Awang Senik, 28, berkata dia membina pondok kayu kecil bersambung dengan rumahnya sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi banjir terbaru.

“Pondok itu dibina sama paras dengan jalan dan rapat dengan rumah saya.

“Jika air banjir memasuki rumah kami, kami akan menggunakan pondok itu sebagai tempat perlindungan baharu dan berpindah ke pondok itu secepat mungkin kerana tidak mahu berpindah ke pusat pemindahan banjir dan meninggalkan rumah,” katanya.

Katanya terdapat 30 rumah di Kampung Terusan yang berisiko banjir dan penghuni 10 daripadanya membina titian atau jambatan kecil serta pondok kayu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 9:49 PM