RUMAH kedai dipercayai lokasi kejadian kanak-kanak berusia tiga tahun meninggal dunia selepas didera bapa tirinya di Bukit Indah, Ampang, didapati kosong ketika dikunjungi wartawan, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah.
Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my


SUSPEK yang juga bapa tiri kepada kanak-kanak yang maut tengah hari selama dipercayai akibat didera, difahamkan mempunyai masalah mental dan pernah ditahan polis sebelum ini, namun dilepaskan semula.

Adik kepada lelaki berkenaan, Khairul Mustaffa Khairuddin, 30, berkata, abangnya pernah menumpang di rumah ibunya di Ampang Saujana bulan lalu sebelum pulang ke rumahnya di Bukit Indah, Ampang, beberapa hari lalu.

“Sepanjang berada di rumah ibu, saya tidak pernah nampak dia 'naik tangan' kepada isteri mahupun anaknya. Namun, saya perasan muka anak saudara (mangsa) ada kesan lebam.

“Kami sekeluarga tidak tahu jika dia memang mendera anak lelaki itu. Tapi apa yang saya tahu, dia tidak pernah menyentuh dua lagi anaknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Khairul Mustaffa berkata, dia pernah menghubungi polis memandangkan abangnya kelihatan seperti orang tidak betul sejak akhir-akhir ini kerana sering bergaduh dengan ibunya, sebelum polis datang ke rumah dan menahannya.

“Sebelum ini dia okay. Sejak akhir-akhir ini dia seolah-olah berkelakuan pelik. Selepas dibebaskan polis, dia pulang semula ke rumahnya di Bukit Indah, beberapa hari lalu.

“Kami sekeluarga terkejut apabila mendapat tahu perkara ini. Malah dia melarikan diri bersama isterinya dengan membawa seorang anak yang berusia setahun.

“Saya bimbang jika berlaku apa-apa kepada isteri dan anak saudara dibawanya. Saya minta dia supaya pulang dan menyerah diri kepada polis, jika benar dia mengalami masalah mental, biarlah pihak hospital merawatnya," katanya yang tidak tahu ke mana abangnya menghilangkan diri.

Sebelum ini, kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu maut ketika dirawat di Hospital Ampang, tengah hari semalam, dipercayai akibat didera bapa tirinya yang kini melarikan diri sejurus menghantar mangsa ke hospital itu.

Sementara itu, kebanyakan penduduk dan pekerja di sekitar kediaman bapa tiri kepada mangsa terkejut sebaik mendengar berita mengenai kejadian itu.

Bagaimanapun, penduduk mendakwa tidak mengenali lelaki dan keluarga berkenaan kerana mereka baru sahaja berpindah ke unit rumah kedai di Jalan Bukit Indah 2/10, Bukit Indah, beberapa minggu lalu.

Penduduk dikenali sebagai Ghani berkata, dia pernah terserempak dengan bapa tiri kepada kanak-kanak itu di sebuah restoran berdekatan kediaman lelaki berkenaan.

“Saya pernah terserempak dengan lelaki ini, namun tidak mengenalinya. Jika betul dia yang melakukan perkara itu kepada anaknya seperti dilaporkan, tindakan itu lebih kejam daripada binatang.

“Jika marah pada anak sekalipun, jangan sampai membunuh, kanak-kanak tidak mengerti perkara seperti ini. Saya memang terkejut dengan berita ini dan berharap lelaki itu ditahan polis,” katanya ketika ditemui di Bukit Indah, hari ini.

Tinjauan di kediaman lelaki berkenaan mendapati unit rumah kedai itu kosong tanpa penghuni kerana selepas beberapa kali pintu rumah diketuk, tiada sebarang respons.

Seorang pekerja di premis berdekatan kediaman lelaki itu berkata, dia pernah melihat mangsa yang berusia tiga tahun itu dan sama sekali tidak menyangka kanak-kanak itu akan meninggal dengan cara begitu.

“Saya terbayang-bayang wajahnya yang riang, namun tidak sangka dia berhadapan masalah seperti itu (didera),” katanya yang beberapa kali mengucapkan istighfar.

Penduduk mendakwa pihak polis pernah datang ke kediaman lelaki itu tengah malam tadi untuk memeriksa rumah itu.

Berita berkaitan

'Budak maut didera'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 6:06 PM