(DARI KIRI) Richard Dillan, Erni Dekritawati Yuliana dan Hie Huong (kanan) menunjukkan poster waris masing-masing iaitu Anthony Kevin Morais, Sosilawati dan Stephen Wong yang dibunuh. FOTO Aswadi Alias
Faris Fuad
faris.fuad@nstp.com.my


AHLI keluarga mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi mendesak kerajaan tidak memansuhkan hukuman mati mandatori kerana ia didakwa tidak adil dan hanya akan menyumbang kepada peningkatan kes jenayah berat di negara ini.

Kes itu membabitkan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya; timbalan pendakwa raya, Datuk Anthony Kevin Morais dan pegawai bank, Wong Jing Kui.

Anak sulung Sosilawati, Rita Dekritawati Yuliana Buhari berkata, setiap individu perlu mendalami keperitan ahli keluarga mangsa terbabit sebelum bertindak menyokong terhadap pemansuhan hukuman itu.

Katanya, pihak berkaitan juga wajar mengambil kira aspek penting kesemua kes itu iaitukehilangan nyawa dan pesalah sepatutnya dikenakan hukuman setimpal.

"Nyawa sepatutnya ‘dibayar’ dengan nyawa.

"Ketika mendengar berita pelaku yang membunuh ibu akan digantung, semua ahli keluarga berasa lega dan gembira.

"Ia menguatkan semangat kami sekeluarga untuk meneruskan kehidupan dengan lebih tenang.

"Saya sedar ramai yang membangkit soal kemanusiaan, namun apabila individu yang membunuh ibu, adakah mereka memikirkan mengenai soal itu.

"Ibu adalah seorang usahawan, ramai yang bekerja dan mencari rezeki dengan dia, bagaimana dengan nasib mereka, tidak adil jika kita mansuhkan hukuman mati dalam hal ini," katanya dalam nada sebak pada sidang media di Ampang, hari ini.

Sementara itu, kakak Jing Kui, Wong Hie Huong berkata, pemansuhan hukuman itu akan menimbulkan pelbagai persoalan dan kemarahan di kalangan ahli keluarganya.

"Isteri mendiang yang didapati bersalah oleh mahkamah kerana terbabit dan bersubahat membunuh Jing Kui sudah dijatuhkan hukuman mati.

"Dalam hal ini, wanita itu bukan sahaja mendapat hak penjagaan anak tunggal dan harta mendiang, malah mungkin terlepas dari tali gantung," katanya.

Adik bongsu Anthony Kevin, Datuk Richard Morais berkata, beliau masih trauma terhadap apa yang berlaku.

"Kejadian itu berlaku pada 2015, namun setiap hari saya masih mengenangkan nasib mendiang yang dibunuh secara kejam dengan disimen dan diletakkan di dalam tong.

"Menyentuh mengenai kes mendiang, ia masih berjalan.

"Namun, jika hukuman mati dimansuhkan, sudah tentu pesalah akan terlepas dari tali gantung," katanya.

Pada 27 Oktober lalu, NSTP melaporkan kerajaan masih belum memuktamadkan keputusan untuk memansuhkan hukuman itu kerana masih membuat konsultasi dan kajian mengenainya.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian juga sedang mendapatkan maklum balas pelbagai pihak sebelum ia dibentangkan kepada Kabinet.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 6:06 PM