MD Derick (kiri) menerima anugerah ‘Asia Pacific Regional Airport of the Year 2018’ daripada Pengerusi Eksekutif CAPA, Peter Robinson. FOTO ihsan LTAS
Mohd Fahmi Mohd Yusof
mohdfahmi@nstp.com.my


LAPANGAN Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) dinamakan sebagai ‘Asia Pacific Regional Airport Of The Year 2018’ pada majlis Centre of Aviation (CAPA) Asia Pacific Aviation Awards for Excellence 2018 yang diadakan di Singapura, baru-baru ini.

Penganugerahan yang diterima LTAS dalam majlis anugerah terkemuka itu itu adalah bagi kategori lapangan terbang bawah 10 juta penumpang setahun.

Anugerah disampaikan Pengerusi Eksekutif CAPA, Peter Harbison kepada Ketua Pegawai Eksekutif LTAS, Md Derick Basir dalam sebuah majlis gala yang dianjurkan di Sentosa, Singapura.

Pengerusi LTAS, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pihaknya amat berbesar hati dan teruja menerima anugerah berprestij itu dan menganggap ia sebagai pengiktirafan LTAS dalam industri penerbangan.

"Kami berasa sungguh berbesar hati dan teruja untuk menerima anugerah ini kerana ia merupakan sebuah pengiktirafan dalam industri penerbangan.

"Ia juga penghargaan terhadap usaha tanpa henti kami dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan yang menambah nilai untuk pelanggan dan juga penumpang kami," katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Sementara itu, Harbison berkata, LTAS terpilih kerana peranan utamanya dalam menggunakan teknologi biometrik baharu dan sokongannya terhadap model syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) yang mendorong kepada perkembangan pesat lapangan terbang itu.

“LTAS mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dan muncul sebagai peneraju dalam teknologi lapangan terbang meskipun ia beroperasi di sebalik

lapangan terbang utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Changi di Singapura.

“Senai juga sudah membangunkan hubungan rapat dengan AirAsia, meletakkannya di posisi pertumbuhan yang lebih pesat dan memberi peranan sebagai contoh bagi lapangan terbang kecil lain di rantau ini yang ingin menarik hab LCC," katanya.

Pada awal 2018, LTAS menjadi lapangan terbang pertama di Asia yang melaksanakan Fast Airport Clearance Experience System (FACES) oleh AirAsia, sebuah teknologi biometrik terkini yang menyediakan pengalaman perjalanan layan diri dari proses daftar masuk sehingga ke pintu masuk perlepasan.

Dengan menggunakan teknologi baharu itu, LTAS berjaya menambah baik kecekapan perkhidmatan pelanggan dan operasi selain menyediakan lapangan terbang yang menampung pertumbuhan jumlah penumpang lebih pesat.

LTAS kini dihubungkan ke 19 destinasi, termasuklah 12 jaringan domestik dan tujuh jaringan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 5:58 PM