SHAHIDAN Kassim. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


MAHKAMAH Sesyen Kangar, hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim selepas beliau gagal hadir bagi menghadapi pertuduhan kes mencabul seorang gadis bawah umur, bulan lalu.

Waran itu dikeluarkan Hakim Johari Hassan setelah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail membuat permohonan itu.

Bagaimanapun peguam yang mewakili Shahidan, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim membuat bantahan pengeluaran waran itu kerana anak guamnya dan beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenainya lebih awal.

"Saya mendapat tahu pengeluaran waran ini semasa berada di mahkamah pada pagi ini, sedangkan anak guam saya berada di luar kawasan.

"Sayaakan memohon semula kepada mahkamah untuk membatalkan waran tangkap itu... kes berprofail tinggi seperti ini perlulah dimaklumkan lebih awal, apatah lagi membabitkan seorang ahli politik," katanya.

Syed Muhammad Anwar berkata, Shahidan sendiri menetap di Perlis, jadi, waran tangkap hanya dikeluarkan jika beliau melarikan diri.

Sementara itu, difahamkan Ahli Parlimen Arau itu kini berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadat umrah melalui status Facebook yang dimuat naik oleh beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 5:28 PM