Shaarani Ismail
shaarani@nstp.com.my


MAHKAMAH Majistret Kuala Kangsar, hari ini melepas dan membebaskan seorang anggota polis trafik daripada pertuduhan mencuri wang tunai RM200 milik seorang lelaki, dua tahun lalu.

Tertuduh, Lans Koperal Sa’dat Abdul Wahab, 33, sebelum ini didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 243.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke Ipoh, pada jam 4.40 petang 13 Julai 2016.

Majistret Noorhidayah Mohd Saad membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan segala keterangan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan serta mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dalam kes berkenaan.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri.

Sa’dat sebelum ini dituduh mencuri wang tunai itu daripada milikan Muhamad Alif Shahar, 25, di lokasi, masa dan tarikh berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara dan didenda serta dikenakan sebatan bagi kesalahan kedua.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam R S N Rayer.

Tertuduh yang hadir ditemani beberapa rakannya pada prosiding hari ini kelihatan tenang dan lega sebaik mahkamah membuat keputusan melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan berkenaan.

Dia bagaimanapun dilihat menangis selepas menerima ucapan tahniah daripada Rayer dan rakan-rakannya dan dilihat melakukan sujud syukur sebaik keluar dari pekarangan mahkamah sebelum beredar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 4:05 PM
SA’DAT melakukan sujud syukur sebaik keluar dari mahkamah selepas Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mencuri wang tunai RM200 milik seorang lelaki, dua tahun lalu. FOTO Muhaizan Yahya.