Faris Fuad
faris.fuad@nstp.com.my


“SUAMI terpaksa dijahit sembilan kali di kepala selain mengalami kecederaan teruk di lengan tangan kanan," kata isteri mangsa, Zainudin Wahab, 60, yang ‘diserang’ jirannya, kelmarin.

Latifah Alias, 59, berkata, suaminya dilibas dan ditikam menggunakan pisau oleh lelaki berusia 41 tahun itu masing-masing di bahagian kepala dan tangan.

"Saya menyedari kejadian itu kira-kira 6 petang ketika mendengar bunyi bising di luar rumah.

"Sebaik membuka pintu rumah, suami sudah berlumuran darah, dalam keadaan panik saya terus hubungi ambulans dan polis.

"Punca kejadian masih tidak diketahui.

"Semua perkara itu saya perlu rujuk dengan suami, dia masih ditempatkan di Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.

"Hari ini saya mahu melawat dia. Suami dikatakan masih berada dalam keadaan lemah. Bila dia bersedia nanti, dia akan ceritakan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di rumahnya di Persiaran Ampang Saujana, Ampang, hari ini.

Ketika ditanya mengenai kesan insiden itu terhadap keluarganya, Latifah berkata, mereka masih trauma terhadap apa yang berlaku.

"Sehingga hari ini, saya masih mengigil memikirkan kejadian itu.

"Suspek itu tinggal di depan rumah saya, walaupun dia sudah ditangkap, kami sekeluarga masih mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Mengulas lanjut, Latifah berkata suspek pernah bertindak ganas dengan memukul anak lelakinya menggunakan tongkat.

"Saya ada enam anak termasuk empat lelaki yang masih tinggal bersama di sini.

"Dua bulan lalu, seorang anak lelaki berusia 30 tahun pernah bertengkar dengan suspek sehingga dipukul menggunakan tongkat kerana isu kerusi di bawah blok rumah.

"Anak yang sedang menunggu rakannya ketika duduk di atas kerusi didatangi suspek yang mahu menggunakan kerusi itu.

"Walaupun anak sudah bangun dan serahkan kerusi terbabit, suspek tiba-tiba berang dan memukul dia.

"Anak yang terkejut tidak membalas kerana memikirkan suspek itu OKU.

"Dalam hal ini saya serahkan kepada pihak polis untuk menyiasatnya," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada isteri mangsa kira-kira 8 malam, kelmarin.

Beliau berkata hasil siasatan, pihaknya menahan lelaki berusia 41 tahun dan merampas satu parang serta dua pisau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata," katanya.

Berita berkaitan:

  • Warga emas ditikam jiran
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 2:39 PM