HABIBI (kanan) menunjukkan barang rampasan berkaitan kes curi kenderaan. FOTO Malai Rosmah Tuah
Ryan Stanley

POLIS menumpaskan kumpulan curi kenderaan dikenali 'Geng Wan' selepas menahan tiga lelaki termasuk ketuanya dalam serbuan berasingan di Kota Kinabalui, minggu ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas tiga kereta dan tiga motosikal serta beberapa komponen kenderaan yang dianggarkan bernilai RM100,000.

"Tangkapan pertama dibuat pada Isnin lalu kira-kira 11 malam di Kampung Sembulan Lama iaitu membabitkan seorang lelaki tempatan yang juga ketua kumpulan terbabit.

"Hasil siasatan lanjut terhadap suspek, polis kemudian menahan dua lagi suspek warga tempatan di Kampung Muhibah, berhampiran Maktab Sabah 2.30 petang pada keesokan harinya," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, kesemua kenderaan yang dirampas itu sebelum ini dilaporkan hilang di beberapa daerah dan beliau percaya dengan tumpasnya kumpulan terbabit, polis berjaya menyelesaikan 10 kes curi kenderaan.

"Modus operandi suspek ialah dengan menggunakan kunci pendua bagi mencuri motosikal manakala bagi kenderaan, mereka mengumpil tingkap untuk membuka pintu seterusnya menghidupkan enjin menggunakan kepakaran mereka.

"Kumpulan ini juga menggunakan medium media sosial bagi menjual komponen kenderaan yang dicuri, " katanya.

Beliau berkata, semua suspek berusia 24 hingga 30 tahun itu memiliki beberapa rekod jenayah termasuk dadah, curi dan samun berkumpulan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 2:33 PM