FARID Kamil. FOTO arkib NSTP
Siraj Mohd Zaini
siraj@nstp.com.my


POLIS akan memanggil pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari berhubung laporan polis mengaitkannya dengan isu yang mendakwa dia pernah disogok wang RM5 juta oleh kerajaan terdahulu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, Farid akan dipanggil dalam masa terdekat bagi merekodkan keterangannya.

Menurutnya, polis menerima satu laporan di Balai Polis Kota Damansara semalam daripada lelaki berusia 43 tahun yang menjadi wakil kepada Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam.

"Laporan itu mengatakan bahawa Farid sengaja mereka cerita untuk menjatuhkan imej Perdana Menteri ketika itu (Datuk Seri Najib Razak).

“Malah pengadu juga mengatakan jika dakwaan Farid itu benar, mengapa tidak melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya ketika ditemui selepas program Media Talk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.

Fadzil berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana melakukan tohmahan atau fitnah.

Dalam sebuah video yang dimuat naik di Youtube ketika program Tv Al Hijrah 10 malam kelmarin, Farid mendakwa dirinya cuba dirasuah sebanyak RM5 juta oleh kerajaan terdahulu.

Susulan itu, Lokman dipetik berkata, ia perlu disiasat segera oleh polis kerana membuat dakwaan palsu selain mahu menghina Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 1:18 PM