SALLEH meninggal dunia sebelum solat subuh di Masjid Kampung Hangus, Kupang. FOTO ihsan pambaca
Safuri Kamarudin

“ARWAH suami meninggal dunia dalam keadaan fikrah yang baik ketika sedang menunggu masuk waktu solat Subuh dan sempat berselawat dan menghampar sejadah sebelum rebah di tempat imam.”

Begitu kata Fatimah Latif, 62, isteri kepada lelaki warga emas, Salleh Hussain, 65, yang rebah sebelum meninggal dunia ketika sedang menunggu untuk solat berjemaah di Masjid Kampung Hangus, Kupang, dekat Baling, hari ini.

Arwah yang berasal dari Kampung Pisang, Kupang menjadikan rutin hariannya mengerjakan solat sama ada di surau atau masjid setiap hari dan dijemput ilahi pada pagi Jumaat penghulu segala hari.

Fatimah berkata, setiap malam Jumaat dan Sabtu arwah suaminya akan ke masjid manakala hari-hari biasa hanya berjemaah di surau.

Menurutnya, arwah tidak menunjuk kelainan malah seperti biasa ke masjid cuma pagi ini dia keluar lebih awal.

"Selalunya saya ikut sekali tetapi pagi tadi arwah keluar awal ke masjid dan menjadi rutin setiap hari Jumaat dia solat jemaah di sana.

"Allah lebih sayang pada arwah dan dia meninggal dalam fikrah yang baik ketika menunggu masuk waktu solat dan sempat berselawat," katanya.

Katanya, dia reda apa yang berlaku malah arwah meninggal dalam keadaan yang baik di pagi Jumaat ketika menunaikan kewajipan kepada Allah SWT.

"Suami seorang suami yang baik dan bertanggungjawab... arwah akan dikebumi selepas solat asar petang ini," katanya.

Sementara itu, sepupu arwah, Idris Yaacob, 50, berkata, arwah selalu ke masjid awal dan menghampar sejadah untuk makmum yang lain.

"Arwah meninggal dunia sebelum sempat solat Subuh dalam keadaan tenang.

"Arwah seorang yang baik dan sering datang awal ke masjid sambil membersih tempat bersolat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 1:00 PM