GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli

SURIRUMAH kerugian RM3,000 apabila ditipu scammer yang menyamar sebagai kakitangan syarikat telekomunikasi di Kedah yang mendakwa anaknya ditangkap tanpa diketahui apa kesalahan yang dilakukan.

Dalam kejadian minggu lalu, wanita berusia 50-an dari Pendang itu memasukkan wang selepas diarahkan membayar ikat jamin untuk melepaskan anak lelakinya yang berusia 18 tahun.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, kejadian bermula apabila anaknya menerima panggilan telefon dari sindiket itu kira-kira 1 tengah hari.

Beliau berkata, sindiket meminta anaknya mematikan telefon bimbit selama satu jam sebagai langkah untuk mengemas kini data talian telefon bimbit remaja itu.

"Selepas meminta butiran maklumat termasuk nama dan nombor telefon ibu mangsa, remaja itu kemudian mengikut arahan sindiket itu mematikan telefon bimbitnya selama sejam.

"Ketika itulah sindiket terbabit menghubungi ibu mangsa dan memberitahu anaknya ditangkap menyebabkan wanita itu bimbang dan cuba menghubungi telefon bimbit anaknya berkali-kali tetapi gagal," katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Mohd Yusrizal berkata, disebabkan bimbang keselamatan anaknya, ibu mangsa menghubungi semula sindiket berkenaan dan bersetuju untuk membayar jaminan RM3, 000 untuk melepaskan anaknya.

Beliau berkata, selepas memasukkan wang itu, wanita itu terkejut apabila menerima panggilan daripada anaknya yang memaklumkan dia tidak ditangkap seperti yang didakwa sindiket itu.

"Selepas anaknya menceritakan segala-galanya, wanita itu rasa ditipu dan terus membuat laporan di pejabat CAKE untuk memaklumkan kejadian itu.

"Saya sudah menghubungi syarikat telekomunikasi terbabit untuk mendapatkan pengesahan namun mereka memaklumkan tidak pernah menghubungi mana-mana individu untuk melakukan kegiatan itu," katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau menasihatkan mangsa membuat laporan polis untuk memudahkan siasatan dilakukan dan pihaknya bersedia untuk membantu polis mengesan sindiket berkenaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan taktik sindiket ini yang semakin licik memperdaya mangsa dengan pelbagai helah dan sejak awal tahun lalu, CAKE menerima lebih 30 aduan daripada pengadu yang mengadu ditipu scammer di Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 11:09 AM