RAY Imran. FOTO arkib NSTP
Ruwaida Md Zain

GAMBAR usahawan komestik yang juga penerbit filem, Datuk Ray Imran, 47, digunakan penjenayah sebagai gambar profil akaun Facebook (FB) palsu untuk meraih cinta dan menipu wanita.

Ray berkata, dia mula sedar perkara ini sekitar bulan Oktober tahun lalu

“Saya pernah memuat naik mesej menjelaskan kepada umum mengenainya tetapi mungkin tidak begitu diberi perhatian.

"Namun, memeranjatkan apabila tahun ini lebih banyak penjenayah guna gambar saya dan lebih 200 akaun FB dengan nama berbeza termasuk lelaki berbangsa Cina.

"Saya juga banyak terima panggilan dan mesej daripada mangsa yang ditipu dan diugut pukul kerana mengganggu isteri orang," katanya kepada NSTP.

Ray berkata, ramai mangsa turut menghubungi beliau melalui panggilan telefon dan mesej memaklumkan ditipu sehingga mengalami kerugian besar.

Katanya, kebanyakan wanita itu terdiri daripada wanita berusia 30 hingga 60 tahun termasuk isteri orang.

"Pada mulanya, mereka menyangka saya menipu tetapi apabila saya beri penjelasan baru mereka faham yang individu menipu itu orang lain.

"Mangsa memaklumkan pihak yang menyamar ity berjanji mahu mengahwini dan memberikan hadiah kepada mereka.

"Ada juga mangsa memasukkan sejumlah besar wang sehingga puluhan ribu ringgit termasuk hanya kerana percaya apa yang dijanjikan penipu berkenaan," katanya.

Katanya, selepas mangsa memasukkan wang ke akaun individu itu, penjenayah berkenaan terus lesap menyebabkan wanita terbabit mulai mencari 'kekasih' alam siber itu melalui media sosial sebelum menemui profil sebenar pemiliknya.

Justeru, beliau akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

"Setakat ini, saya mengumpul banyak 'screen shot' akaun palsu yang menggunakan nama saya sebagai bahan bukti.

"Malah, selain Facebook, saya mendapati ada juga gambar digunakan di saluran lain seperti Instagram dan aplikasi Wechat ," katanya yang tidak mahu perkara itu menjejaskan kredibilitinya sebagai usahawan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 10:33 AM