PASUKAN Zeppo Youngsterz memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Akhir Tarian Jalanan UDO Asia Pasifik di Chongzuo, Ahad lalu.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Gabungan tarian moden dan tradisional diiringi lagu Kuda Kepang memberi kelebihan kepada wakil Malaysia, sekali gus meraih tempat kedua dalam Pertandingan Akhir Tarian Jalanan (Street Dance) UDO Asia Pasifik di Chongzuo, China, Ahad lalu.

Tujuh ahli pasukan Zeppo Youngsterz mewakili Malaysia bagi kategori 18 tahun keatas itu turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM6002.56.

Selain itu Zeppo Youngsterz turut layak ke peringkat akhir pertandingan Blackpool di United Kingdom (UK) dijadualkan tahun depan.

Ketua pasukan, Faris Azim, 20, berkata, diumumkan sebagai naib johan sudah cukup menggembirakan mereka semua, kerana secara tidak langsung dapat mengharumkan negara di persada antarabangsa.

Katanya, bukan mudah untuk menambat hati juri selain perlu bersaing dengan 10 pasukan mewakili negara Asia yang lain.

“Pada mulanya, kami tidak berhasrat untuk ke Chongzuo kerana perlu menanggung kos penerbangan yang mahal, selain perlu mencari sendiri tempat penginapan.

“Namun, penganjur menawarkan tajaan pada saat akhir dan kami tidak mensia-siakan peluang terbuka meskipun ketika itu cuma ada dua minggu untuk buat persediaan,” katanya.

Menurut Faris, selain melakukan persediaan pada saat akhir, cabaran lain perlu ditempuh Zeppo Youngsterz adalah kesukaran mendapatkan makanan halal.

Selain itu mereka juga terpaksa berlatih di kawasan terbuka dalam cuaca sejuk kerana suhu di lokasi pertandingan ketika itu adalah 15 darjah Celsius.

“Mencari makanan halal amat sukar di sana, mahu atau tidak kami kena isi perut untuk dapatkan tenaga. Mujur ada mi segera dan snek dibawa dari Malaysia.

“Alhamdulillah, usaha kami berbaloi lebih-lebih lagi ini adalah penyertaan sulung sebahagian ahli pasukan ini,” katanya.

Faris berkata, dia berazam untuk membuat persediaan lebih rapi dan teliti bagi memastikan Zeppo Youngsterz merangkul gelaran juara pada kejohanan bakal disertai tahun depan.

Katanya, sebagai persediaan menyertai pertandingan itu dia dan rakan lain bukan saja perlu peka dengan perkembangan terkini skil tarian terbaru sebaliknya belajar serta berlatih untuk menguasainya.

“Buat masa ini, kami meneruskan latihan seperti biasa. Namun pada masa yang sama kami berusaha mencari penaja untuk menampung kos penerbangan, makan dan penginapan sepanjang di UK nanti.

“Memang kami berharap ada pihak seperti syarikat korporat atau agensi kerajaan sudi mempertimbangkan tawaran penajaan untuk Zeppo Youngsterz,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 10:27 AM