KEDUA-dua warga asing yang ditahan ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my

Kuala Terengganu: Seorang tekong warga Vietnam dijatuhi hukuman denda RM1 juta manakala seorang awak-awaknya pula didenda RM100,000 di Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah menangkap hasil laut di perairan negara membabitkan nilai rampasan lebih RM1 juta termasuk lima tan hasil laut.

Bukan itu saja, tekong, Truong Luong Thien, 37, dan Vo Van Hue, 39, turut berdepan tiga tahun penjara sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz selepas kedua-dua tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) yang dibaca bersama Seksyen 52(1)(a)(i) dan Seksyen 52(1)(a)(ii) akta sama.

Selain itu, mahkamah memerintahkan semua barang kes iaitu sebuah kapal penangkapan ikan, peralatan menangkap ikan, hasil laut dan minyak diesel dilucutkanhak kepada kerajaan Malaysia.

Mengikut pertuduhan, dua tertuduh itu didakwa bersama-sama menangkap ikan dengan menggunakan peralatan ikan tanpa kebenaran di bawah mana-mana perjanjian perikanan antarabangsa dan tanpa permit sah yang dikeluarkan Pengarah Perikanan Malaysia.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di atas vesel penangkapan ikan pada jarak 100 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu berhampiran Pulau Tenggol, Dungun kira-kira jam 6.20 pagi pada 2 Oktober lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Mohamad Afiq Taqiudin Roslan, manakala dua tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Rafaei & Co, Muhammad Syahri Adnan.

Terdahulu, Mohamad Afiq Taqiudin dalam pendakwaannya berkata, hukuman setimpal perlu dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan mereka menjejaskan ekonomi nelayan tempatan, selain turut memberi kesan kepada ekosistem.

Katanya, negara mengalami kerugian RM3 bilion hingga RM6 bilion setahun akibat pencerobohan nelayan asing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 10:23 AM