FAHMI
Muhd Amirul Faiz Ahmad
cnews@nstp.com.my

Kuching: Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan tidak berlaku sebarang perlanggaran keahlian di cabang paling kontroversi, Julau, yang terletak di tengah Sarawak.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 November lalu, melakukan penahanan ke atas seorang ketua bahagian yang tidak dinamakan membabitkan pertambahan ahli mendadak di cabang berkenaan susulan laporan dilakukan PKR Sarawak pada 25 Oktober lalu.

Cabang Julau mencetuskan kontroversi hangat pada pemilihan PKR tahun ini selepas merekodkan pertambahan mendadak anggota baharu sebanyak 13,000 ahli sebelum tarikh akhir penerimaan anggota baharu untuk disahkan.

Cabang Julau sebelum itu hanya mencatatkan jumlah kira-kira 600 ahli.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, kelulusan keanggotaan di cabang berkenaan hanya akan dimasukkan selepas ia diluluskan Biro Politik PKR atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Malam tadi (semalam), mesyuarat Biro Politik PKR sudah membincangkan beberapa perkara berkaitan pemilihan parti termasuk isu keanggotaan di Cabang Julau. Biro politik sudah dimaklum bahawa jumlah besar permohonan di Cabang Julau diterima Ibu Pejabat PKR pada 12 Jun 2018.

“Bagi tujuan pemilihan parti, tarikh akhir penerimaan permohonan keanggotaan baharu adalah 26 Jun 2018. Senarai itu disahkan Biro Politik PKR pada 27 Jun 2018.

“Ia kemudian diserah kepada setiap cabang untuk semakan dan bantahan namun Ibu Pejabat PKR tidak menerima sebarang bantahan daripada mana-mana pihak terhadap permohonan keanggotaan baharu sehingga tamat tempoh bantahan pada 17 Julai 2018,” katanya pada kenyataan semalam.

Pemilihan PKR Sarawak akan dilaksanakan pada 10 November ini, sekali gus menjadi penentu terutama jawatan paling panas dalam PKR iaitu membabitkan Timbalan Presiden antara penyandang yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Mohd Rafizi Ramli.

Daripada 13 negeri yang sudah melaksanakan pemilihan, Mohamed Azmin terus mendahului Rafizi bagi mempertahankan jawatan berkenaan dengan majoriti 3,202 undi selepas memperoleh 59,594 undi (51.4 peratus) berbanding Rafizi yang mendapat 56,392 undi (48.6 peratus).

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, berdasarkan fakta berkenaan, tiada pelanggaran proses kes membabitkan Cabang Julau kerana Biro Politik PKR mengesahkan permohonan keanggotaan baharu di cabang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 10:09 AM