Antara dua buah rumah yang musnah dalam kebakaran manakala dua lagi rosak 70 peratus di Kampung Seberang Tok Pi. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my

EMPAT rumah musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis, malam tadi.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi) Perlis, Muhamad Firdaus Yusop berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan mengenai kejadian pada jam 9.21 malam.

“Pihak bomba kemudian menghantar lima jentera bersama 25 anggota dan dibantu 28 anggota bomba sukarela bagi mengawal kebakaran.

“Bagaimanapun kita mengalami kesukaran untuk masuk ke lokasi kebakaran akibat laluan kampung yang sempit,” katanya dalam kenyataan di Kangar, semalam.

Muhamad Firdaus berkata, pihaknya turut berhadapan masalah tekanan air rendah menyebabkan usaha memadam api menjadi sukar.

“Api bagaimanapun berjaya dipadamkan pada jam 10.40 malam selepas satu jam operasi dilakukan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Pihak kami masih menyiasat punca dan kerugian akibat kebakaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 2:43 AM