Mangsa maut kepala digilis selepas motosikalnya terbabas. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Azizah Mokhtar
cnews@nstp.com.my


PEKERJA swasta maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan kepalanya digilis kenderaan lain di Kilometer 16.8 arah utara Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3.35 petang itu, pemuda berusia 23 tahun dan berasal dari Rawang itu sedang menunggang motosikal bersendirian sebelum terbabit kemalangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang terbabas sendiri.

“Mangsa terjatuh di atas jalan dan sebuah kenderaan lain yang dipercayai gagal mengelak kemudian melanggar kepala mangsa menyebabkannya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Buat masa ini kita tidak dapat memastikan apakah jenis kenderaan yang melanggar mangsa, justeru kita minta saksi yang melihat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pihak polis memohon jasa baik saksi untuk tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Daerah (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya atau berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Rina Murniza Ibrahim di talian 013-9738580.

Menurut Azman lagi, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 1:44 AM