Model Felicia Lee Sim Leen bergambar bersama koleksi wang kertas emas Harapan Poh Kong. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Azura Abas; Irwan Shafrizan Ismail dan Mohd Husni Mohd Noor
cnews@nstp.com.my

TUN Dr Mahathir Mohamad mengingatkan supaya kebebasan bersuara tidak digunakan bagi menimbulkan kekacauan.

Perdana Menteri berkata, walaupun kerajaan menyokong kebebasan bersuara, namun ia tidak sepatutnya digunakan untuk menimbulkan masalah terutamanya dalam isu berkaitan kaum dan agama.

“Kita bersyukur walaupun ada pelampau dan fanatik cuba mencetuskan isu perkauman dan agama, majoriti rakyat kebanyakannya sama ada menolak atau mengabaikannya.

“Tetapi itu tidak bererti kita harus mengambil mudah, bahawa mereka tidak akan dapat merangsang dan memobilisasi secukupnya untuk menimbulkan kerosakan yang tidak ternilai. Jadi, berhati-hatilah,” katanya ketika berucap pada pelancaran koleksi wang kertas emas Harapan hasil inisiatif syarikat barang kemas, Poh Kong di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu Dr Mahathir berkata, pelancaran wang kertas emas berkenaan tepat pada masanya ketika Malaysia kini sedang bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara bangsa.

“Kerajaan kini sedang meraikan kejayaan selepas berjaya membebaskan negara daripada belenggu kleptokrasi dan rejim yang menindas.

“Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah kerana jangkaan rakyat terhadap kerajaan sangat tinggi menjadikan tanggungjawab lebih berat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 1:00 AM