MOHD Redzuan (tengah) melawat pameran produk usahawan pada Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera. FOTO Faiz Anuar
Faliq Lajim

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan menyasarkan peningkatan sumbangan usahawan Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, ketika ini usahawan Bumiputera termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) hanya menyumbang kurang daripada 30 peratus KDNK negara.

"Walaupun sasaran itu agak tinggi, namun saya percaya ia dapat dilaksanakan berikutan adanya agensi-agensi kerajaan yang diletakkan di bawah kementerian ini. Selain itu, pelbagai program juga akan dilaksanakan dan membantu usahawan Bumiputera.

"Saya punya visi bagi sumbangan usahawan Bumiputera kepada KDNK adalah 70 peratus. Angka ini bukan saya main petik tetapi ia yang kita kena sedar dan inilah cabaran terbesar.

"Kita akan buat sebaik mungkin kerana kementerian juga ada koperasi iaitu agensi yang kita boleh wujudkan dana. Selain dana yang ada, kita juga boleh kembangkan saham. Yang penting kita tahu apa yang nak dilakukan serta apa pulangannya," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, demikian pada sidang media Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera di Dewan Raja Muda Musa Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7, Shah Alam, hari ini.

Ketika ditanya bagaimana peratusan itu dapat dicapai, Mohd Redzuan berkata, Malaysia perlu menjadi sebuah negara pengeluar serta mengembangkan lagi peranan vendor.

"Sebab itu juga kita mahu wujudkan kembali projek kereta nasional baharu. Asas kita untuk bangunkan usahawan supaya mereka boleh bangunkan kereta nasional yang baharu.

"Kita akan bangkitkan semula vendor-vendor automotif yang hari ini banyak resah akibat penstrukturan semula Proton dengan menyasarkan pembangunan 100 usahawan," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 9:42 PM