Saadiah Ismail
Saadiah_ismail@bh.com.my

BEKAS eksekutif bank Goldman Sachs, Roger Ng dan keluarganya dilaporkan bersetuju untuk menyerahkan kira-kira S$40 juta (RM120.7 juta) kepada pihak berkuasa Singapura.

Memetik sumber, Bloomberg berkata Ng yang ditangkap minggu lalu oleh pihak berkuasa di negara ini atas permintaan Amerika Syarikat akan memulangkan wang yang dibekukan di republik itu kepada kerajaan Malaysia.

Singapura pada September lalu sudah memulangkan sejumlah S$15.3 juta (RM46.075 juta) dana berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International.

Bloomberg juga melaporkan, Ng turut mencabar perintah ekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) yang mana beliau berhadapan pertuduhan jenayah berhubung skandal 1MDB.

“Dia juga memfailkan permohonan untuk menyemak semula penahanan AS dan perintah ekstradisi,” katanya.

Dalam masa yang sama, Ng yang juga bekas kakitangan Goldman Sachs di Asia Tenggara dituduh tanpa kehadirannya di Mahkamah Persekutuan di New York minggu lalu, bersama rakan bekas eksekutif Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner dan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atas pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah.

Dalam pertuduhan berkenaan menyebut, Jho Low dan dan Ng bersubahat mengubah berbilion dolar wang yang diselewengkan daripada 1MDB dan berkonspirasi untuk melanggar Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing (FCPA) dengan membayar rasuah kepada pihak berkuasa Malaysia dan Abu Dhabi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 9:08 PM