GAMBAR hiasan
Poliana Ronnie Sidom
poliana@nstp.com.my


PELAJAR tingkatan tiga dipercayai diserang 20 pelajar lain menggunakan tali pinggang di Taman Tun Razak, Sandakan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa bersama 15 rakannya dikatakan bertemu dengan 20 pelajar dari sekolah lain untuk menyelesaikan secara baik perselisihan faham selepas dikatakan rakan mangsa menyadung kaki pelajar sekolah lain.

Difahamkan, sebelum kejadian, pelajar kedua-dua sekolah itu berjanji untuk berjumpa menyelesaikan mengenai kes pergaduhan yang berlaku di Jalan Singapore, Sandakan, minggu lalu.

Selepas 20 minit berjumpa dan masing-masing mula beredar, mangsa dan rakan-rakannya dipercayai dikejar 20 lelaki tidak dikenali yang kemudian memukulnya menggunakan tali pinggang di kepala dan belakang badan.

Akibat kejadian itu, pelajar terbabit mengalami luka di dahi dan bengkak di bahagian tulang pipi kiri dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent oleh abangnya untuk mendapatkan rawatan sebelum laporan polis dibuat.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, tujuh pelajar berusia 15 hingga 16 tahun ditahan di sebuah sekolah kira-kira 3 petang tadi untuk siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 3:33 PM