KEADAAN kedai serbaneka yang mengalami kerosakan akibat dirempuh kereta di Puchong, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Faris Fuad
faris.fuad@nstp.com.my


PEMILIK kedai serbaneka 24 jam mendakwa kerugian RM7,500 selepas kereta Toyota Vios merempuh masuk premis itu di Persiaran Prima Utama, Puchong, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, kereta dipandu lelaki, 66, terbabas dan terlanggar cermin depan kedai berkenaan.

Katanya, ia berlaku selepas kenderaan terbabit bergesel dengan Perodua Myvi yang diletakkan di kawasan parkir hadapan kedai itu.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun cermin hadapan kedai pecah selain beberapa barangan jualan turut rosak dalam kejadian itu.

“Kereta Toyota Vios dan Perodua Myvi masing-masing rosak di bahagian depan kanan dan bahagian belakang kanan.

“Kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan. Saman juga dikeluarkan kepada pemandu Toyota Vios,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 2:16 PM