Fahmy Azril Rosli
cnews@nstp.com.my


TUJUH penghuni sebuah asrama akhlak perempuan di Jitra, Kedah yang meloloskan diri semalam berpunca daripada mereka tidak dapat menyesuaikan diri di pusat rehabilitasi berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kegagalan penghuni pusat untuk menyesuaikan diri adalah satu masalah yang perlu diberi fokus dan ditangani oleh kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, tujuh penghuni yang lolos itu masih baru dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dalam tempoh orentasi yang ditetapkan.

“Dua orang masih lolos, lima daripada mereka sudah dijumpai. Mereka ada yang baru, belum sesuai dengan tempat itu.

“Ini adalah satu masalah kita apabila kita tidak dapat menyesuaikan diri. Ada tempoh orentasi dan kita mahu mereka sesuaikan diri dengan kaedah itu

“Tetapi, kebetulan ketujuh-tujuh penghuni keluar ambil jalan mudah. Apa pun, kita akan ambil langkah lain supaya tidak lagi timbul masalah penghuni lolos,” katanya kepada pemberita selepas program turun padang ke Sekolah Tunas Bakti (L) Sungai Besi, hari ini.

Beliau mengulas kes tujuh penghuni sebuah asrama akhlak perempuan terbabit yang meloloskan diri melalui siling bumbung asrama berkenaan, semalam.

Kejadian jam 1.17 pagi itu disedari warden asrama selepas penghuni lain melaporkan tujuh penghuni yang semuanya berusia 16 tahun itu bertindak melarikan diri.

Dr Wan Azizah juga mendedahkan, ada penghuni yang bertindak meloloskan diri kerana keluarga tidak datang melawat sekali gus berasa seperti diabaikan.

“Satu sebab lagi keluarga tidak datang. Selalu ada juga remaja lari dari rumah. Jadi, bila rasa macam mereka diabaikan, itu sebab mereka lari.

“Bila mereka masuk sekolah (untuk pemulihan akhlak), keluarga pun tak datang untuk melawat sehingga mereka rasa diabaikan dan (buat keputusan) melarikan diri,” katanya.

Berita berkaitan

Lima dah dapat, cari lagi dua

Korang nak lari mana?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 12:10 PM