JAMALUDIN (tiga dari kiri), Salahuddin (empat dari kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian MOA, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan merasmikan Majlis 50 Hari Menjelang MAHA 2018 di Wisma Tani, Putrajaya.
Siti Nurazlinee Azmi
sitinurazlinee@nstp.com.my

Industri perikanan Malaysia mempunyai perkembangan dinamik dan kompetitif, malah berpotensi untuk dimajukan terutama dalam menyumbang pendapatan eksport negara.

Bagi membangunkan industri itu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) merangka pelan strategik secara holistik merangkumi pembangunan sektor perikanan dan sosio-ekonomi nelayan.

Kerajaan juga komited dalam meningkatkan pengeluaran ikan untuk makanan di samping menguruskan sumber perikanan secara mapan dengan memperkenalkan teknologi baru seterusnya meningkatkan pendapatan nelayan.

Ketua Pengarah LKIM, Jamaludin Othman berkata, sektor pertanian memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.

“Pada 2017, sektor itu menyumbang RM14.3 bilion iaitu peningkatan 10.1 peratus dari segi nilai berbanding 2016.

“Nilai itu menyumbang 0.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sub sektor perikanan. Ia menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding 10 tahun lalu di mana sektor itu hanya menyumbang RM6.21 bilion.

“Ini jelas menunjukkan betapa besarnya sumbangan sektor perikanan dalam pembangunan ekonomi negara. Pencapaian ini tidak diperoleh tanpa sokongan dan pengorbanan nelayan yang bertindak sebagai tunjang kepada sektor perikanan negara,” katanya.

Sempena sambutan ulang tahun LKIM yang ke-47 pada 1 November, lembaga itu memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi dengan menumpukan kepada peningkatan pendapatan nelayan.

Kata Jamaludin, LKIM serius dalam melaksanakan pembangunan nelayan dan industri perikanan di negara ini malah kerjaya sebagai nelayan pada masa depan sewajarnya mampu menjana sumber pendapatan lumayan setanding golongan profesional.

“Nelayan diminta keluar dari kerangka lama supaya selari dengan arus kemajuan hari ini selain berani mengambil risiko meneroka sumber baru dalam perikanan.

“Nelayan yang maju boleh dilihat menerusi beberapa aspek seperti pendapatan, cara hidup, pemilikan aset, hak milik kediaman dan tahap pendidikan ahli keluarga.

“Peningkatan taraf hidup nelayan pada hari ini dapat dilihat apabila ramai nelayan mampu memiliki bot sendiri dan memasarkan hasil tangkapan tanpa bergantung kepada orang tengah.

“LKIM menyediakan pasar nelayan bagi memudahkan nelayan atau ahli keluarga mereka menjual terus hasil tangkapan bagi membantu mereka mendapat pulangan harga yang lebih baik.

“LKIM juga menggalakkan nelayan melalui persatuan untuk menceburi bidang akuakultur bagi meluaskan skop pendapatan mereka.

“Sehingga kini ada 103 Persatuan Nelayan di seluruh negara dengan 89 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), 13 Persatuan Nelayan Negeri (PNN) dan satu Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT),” katanya.


TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin meninjau aktiviti penggredan ikan di Pelabuhan LKIM Tok Bali, Kelantan.

LKIM juga menyasarkan persatuan nelayan untuk menguasai pasaran ikan negara dengan peningkatan lima peratus pada masa depan.

Bagi memantapkan dan mencapai aspirasi kerajaan menerusi sektor perikanan, tenaga ‘orang muda’ amat diperlukan dan menerusi Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Lumut, Perak matlamat kerajaan mentransformasi sektor itu berjaya digapai.

Jamaludin berkata, penubuhan kolej itu diharap dapat melahirkan modal insan yang kompeten dan menjadi penggerak utama dalam transformasi sektor perikanan.

Sempena ulang tahun ke-47 LKIM esok, Program FIT LKIM diadakan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga LKIM.

Program berlangsung di Pekarangan Dewan Besar LKIM di Puchong, Selangor itu turut dimeriahkan dengan konvoi motorsikal LKIM MAHA Bikers 2018 sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 yang bermula pada 22 November depan.

Seramai 60 penunggang menyertai program itu menuju ke hentian Tapah untuk mengadakan promosi MAHA 2018 sebaik pelepasan LKIM MAHA Bikers 2018 disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Pada MAHA tahun ini, LKIM membawakan tema Malaysia Seafood Exposition (MySE) di Dewan A, MAEPS Serdang.

“LKIM turut membawa House of Mollusc (HoM) yang mempamerkan kepelbagaian bentuk kerang yang ditemui dalam negara ini selain beberapa spesies udang berwarna-warni,” katanya.


JAMALUDIN dan Salahuddin (tengah) meninjau pemendapan pasir di Pelabuhan LKIM Chendering, Terengganu.

INFO MySE 2018

• Antara aktiviti menarik ialah BM Challenge, I’m Fisherman dan Roll Lekor

• Peluang rasai pengalaman sebagai nelayan melalui platform teknologi dan simulasi membawa bot menangkap ikan versi 2.0

• NEKMAT mempamerkan obor-obor berusia empat bulan yang dibawa khas dari Pulau Tioman

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 9:58 AM