KENYATAAN kononnya berlaku penculikan yang tular di media sosial. FOTO Facebook
Adnan Ibrahim

POLIS daerah Kluang menafikan dakwaan kes cubaan culik kanak-kanak lelaki berlaku di Taman Cahaya Pelangi, Kluang oleh empat lelaki bertopeng, bersenjatakan parang dan menggunakan van putih seperti yang tular di media sosial sejak semalam

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, susulan kenyataan yang tular di Facebook (FB) itu, polis mengambil keterangan kanak-kanak berusia antara 11 hingga 14 tahun bagi membantu siasatan.

“Selepas mengambil keterangan mereka, kami menjalankan siasatan di tempat kejadian namun kami dapati tiada unsur cubaan culik seperti tersebar di media sosial.

“Menurut keterangan saksi, empat suspek berkenaan dikatakan bersembunyi di kawasan semak dengan jarak kira-kira 90 meter daripada mereka namun tiada perbuatan jenayah dilakukan suspek ke atas mereka.

“Bagaimanapun, kami maklum dengan kejadian ini dan akan menjalankan pemantauan dari masa ke semasa. Setakat ini dakwaan menculik itu tidak benar,” katanya ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini hari ini.

Mohd Abduh berkata, berikutan itu orang ramai dinasihatkan tidak menghebahkan laporan yang masih belum pasti terutama yang tular di media sosial.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Perbuatan menyebarkan berita palsu boleh menyebabkan panik dan kegusaran orang awam dan mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233(3) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 1998.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 10:15 PM