DATUK Dr Mujahid Yusuf Rawa. FOTO Arkib NSTP
Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com.my


TINDAKAN lebih tegas sedang dipertimbangkan kerajaan termasuk cadangan mengenakan sekatan bank terhadap bekas suami yang ‘culas’ memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak selepas perceraian.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, kerajaan sedang memperincikan pelaksanaan penguat kuasaan keadilan syariah yang memberi tumpuan kepada wanita yang diceraikan dan tidak mendapat pembelaan.

“Kebanyakan wanita tidak ada tempat untuk mengadu, jadi kita melihat keperluan penguat kuasaan kepada wanita yang tidak diberikan keadilan dari sudut nafkah yang sudah diputuskan mahkamah syariah.

“Perkara itu sudah dibincang di peringkat Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), dibincang peringkat kami, dan saya harap penguat kuasaan itu perlu dipertingkatkan contohnya mengenakan sekatan bank.

“Jadi kita perlukan penguat kuasaan ke atas suami yang liat untuk membayar nafkah kepada bekas isteri mereka,” katanya kepada pemberita selepas program Town Hall Maqasid: Tadbir Urus Maqasid Syariah di Putrajaya, hari ini.

Ditanya jumlah dan peratusan lelaki yang gagal membayar nafkah seperti diperintahkan mahkamah, katanya, beliau tidak mempunyai statistik itu, namun tidak menafikan jumlahnya ramai.

“Ramai yang terbabit dalam hal ini berdasarkan aduan yang diterima daripada bekas isteri yang tidak dibela kerana kegagalan dan kecuaian suami untuk membayar nafkah yang sudah diputuskan mahkamah.

“Jadi kita perlu ada penguat kuasaan lebih tegas agar mereka tahu bahawa keputusan mahkamah perlu dihormati dan kalau mereka tidak buat akan ada tindakan penguat kuasaan ke atas diri mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 6:58 PM