MAYAT Muhammad Qayyum ditemui anggota bomba selepas lemas di Sungai Jalan Ban, Kampung Bunga Mas, Kangar, ketika mencari basikalnya yang terjatuh di sungai terbabit, hari ini. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


KANAK-KANAK lelaki lemas di Sungai Jalan Ban, Kampung Bunga Mas, Kangar, ketika cuba mengambil basikalnya yang terjatuh ke dalam sungai itu, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Qayyum Zamri, 12, dipercayai hanyut selepas cuba masuk ke dalam sungai untuk menarik basikalnya.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata mangsa ke sungai terbabit bersama dua lagi rakan untuk memancing dan meletakkan basikal mereka di tebing sungai.

“Bagaimanapun, basikal mangsa terjatuh ke dalam sungai dan mangsa bertindak terjun untuk mengambilnya semula.

“Dua rakannya yang takut melihat mangsa tidak timbul bergegas meminta bantuan orang kampung yang kemudian menghubungi polis dan bomba,” katanya ketika dihubungi.

Wari berkata, anggota bomba yang melancarkan operasi mencari menemui mangsa di dasar sungai sebelum dia disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 6:07 PM