SUNDRALINGAM (tiga kanan) menunjukkan peralatan menghisap dadah bersama dadah dan pokok ganja yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini. FOTO Shahiman Sharip
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@nstp.com.my


CUBAAN lelaki warga Nigeria menyeludup syabu menggunakan bungkusan makanan bijirin gagal apabila dihidu polis di tempat penyimpanan kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Ahad lalu.

Difahamkan, dadah yang diisytiharkan sebagai makanan itu dipercayai dikirimkan kepada suspek, 26, berkenaan melalui syarikat penghantaran.

Malah, suspek juga dikatakan menggunakan alamat palsu atau tidak wujud bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Taktik itu berjaya dikesan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA apabila merampas syabu seberat 4.8 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM243,500.

Ia kemudian mebawa kepada penahanan suspek di sebuah pusat beli-belah di Cheras, Kuala Lumpur, jam 9.40 malam Isnin lalu.

Timbalan Ketua JSJN negeri Superintendan R Sundralingam berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas lima bungkusan makanan bijirin di tempat penyimpanan kargo itu, jam 8.30 malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati satu daripada bungkusan makanan itu mengandungi syabu, dan ia dirampas untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan siasatan susulan dengan kerjasama ejen penghantaran, kita mengesan dan memberkas suspek yang mahu menuntut bungkusan dari Nigeria berkenaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang juga penganggur mahu mengedar dadah itu bagi pasaran tempatan.

“Suspek yang tiada rekod jenayah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Sundralingam berkata, dua lelaki berusia 19 tahun ditahan bersama ganja seberat 545 gram bernilai RM1,360 di sebuah pangsapuri di Petaling Jaya, Sabtu lalu.

“Pada hari sama, kita turut merampas tiga pokok ganja berketinggian 60 hingga 90 sentimeter di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Serdang.

“Tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 3:48 PM