Mohd Husni Mohd Noor
cnews@nstp.com.my


DUA penjawat awam termasuk bekas Pengarah Bahagian Visa, Pas dan Permit (VPP) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bergelar Datuk yang direman tujuh hari berhubung kes rasuah jutaan ringgit dibebaskan daripada tahanan reman, hari ini.

Perintah tamat reman dikeluarkan Majistret Khir Nizam Jemari di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Khir turut menetapkan tempoh reman seorang lagi suspek yang juga Kerani di Bahagian Visa, Pas dan Permit JIM disambung dua hari lagi sehingga Jumaat ini.

Ketiga-tiga lelaki itu sebelum ini direman tujuh hari bermula 1 November lalu bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai jutaan ringgit yang membabitkan kelulusan permohonan pas lawatan sosial.

Sumber berkata, bekas pengarah berusia 47 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir untuk proses rakaman percakapan pada 9.40 malam, 31 Oktober lalu.

“Manakala, dua lagi penjawat awam iaitu kakitangan di Bahagian Perkeranian dan Operasi, Bahagian Visa, Pas dan Permit, Imigresen dan pemandu Bahagian Korporat Imigresen, Putrajaya masing-masing berusia 59 dan 46 tahun pula ditahan di kediaman masing-masing.

“Maklumat mendapati semua suspek disyaki menerima rasuah daripada ejen yang menguruskan pas lawatan sosial sebagai balasan memudahkan kelulusan permohonan pas daripada Jabatan Imigresen pada 2015 dan 2016,” katanya.

Berita berkaitan

'Bekas Pengarah VPP Imigresen ditahan'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 3:17 PM
TIGA penjawat awam termasuk bekas Pengarah VPP imigresen bergelar Datuk dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini, sebelum dua daripada mereka dibebaskan manakala seorang lagi disambung reman hingga Jumaat ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah.