FOTO Hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my


KERAJAAN Kelantan menyifatkan peruntukan RM50 juta kepada sekolah tahfiz yang diumumkan menerusi Belanjawan 2019, masih tidak mencukupi.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, walaupun angka berkenaan dilihat agak besar, namun sekolah tahfiz dan agama di negara ini terlalu banyak.

“Memang jumlah RM50 juta kita lihat besar, namun sekolah tahfiz dan agama banyak dan setiap sekolah hanya mampu menerima dengan jumlah yang sedikit.

“Sepatutnya, kerajaan tidak boleh memberi jumlah peruntukan sama kepada sekolah agama dan tahfiz dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) serta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Kerajaan sepatutnya memberi peruntukan mengikut keperluan dan jumlah sekolah yang ada kerana sekolah agama dan tahfiz banyak kekurangan dari segi kemudahan dan infrastruktur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Pejabat Kerajaan Negeri, di Kota Bharu, hari ini.

Menerusi Belanjawan 2019 yang dibentangkan Jumaat lalu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM652 juta, berbanding RM615 juta pada 2018.

Peruntukan itu meliputi Sekolah Kebangsaan (RM250 juta); SJKC (RM50 juta); SJKT (RM50 juta); Sekolah Berasrama Penuh (RM50 juta); Maktab Rendah Sains Mara (RM50 juta); Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (RM50 juta); Sekolah Tahfiz (RM50 juta); Sekolah Pondok Berdaftar (RM25 juta); Sekolah Mubaligh (RM50 juta); Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (RM15 juta) dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (RM12 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 2:34 PM