Musa selepas diikat jamin atas beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam. FOTO Sairien Nafis
Mohd Izham Unnip Abdullah
thaddius@nstp.com.my

BEKAS Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dijangka pulang esok dipercayai untuk mendengar keputusan kes saman yang difailkannya berhubung pertikaian Ketua Menteri Sabah yang sah.

Ia berdasarkan maklumat disebarkan penyokongnya melalui laman sosial yang mengajak orang ramai menunggu kepulangannya dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 12.15 tengah hari esok.

Jika benar, ia adalah kepulangan pertama Musa selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga pada 5 September lalu.

Beliau adalah ADUN terakhir yang mengangkat sumpah selepas kira-kira tiga bulan `menghilangkan diri’ dipercayai bagi mendapatkan rawatan di London sebelum pulang dan tiba di Kuala Lumpur pada akhir Ogos lalu.

Kira-kira 10 jam selepas mengangkat sumpah, Musa sekali lagi meninggalkan Sabah dan terbang semula ke Kuala Lumpur dipercayai bagi meneruskan rawatan perubatan di Selangor selain dikehendaki berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semalam, Musa didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 35 pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan konsesi balak di negeri ini membabitkan transaksi bernilai antara AS$28,500 hingga AS$16,148,547 yang keseluruhannya berjumlah RM263 juta antara 10 hingga 14 tahun lalu.

Beliau dikenakan jaminan RM2 juta oleh mahkamah dan dikehendaki membayarnya sebelum boleh pulang ke Sabah.

Esok, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Yew Jen Kie akan mengumumkan keputusan berhubung pertikaian jawatan Ketua Menteri Sabah yang difailkan Musa.

Yew yang selesai mendengar hujah lisan daripada pihak plaintif dan defendan berhubung kes itu pada 25 Oktober lalu dijadualkan mengumumkan keputusannya pada jam 2.30 petang esok.

Musa pada Jun lalu memfailkan saman dengan disokong afidavit terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkaitan isu pelantikan Ketua Menteri.

Saman itu bagi mendapat pengisytiharan bahawa Musa kekal Ketua Menteri yang sah mengikut undang-undang, selain mendakwa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 8:45 PM
Skip this ad x