Gopal Sri Ram. FOTO arkib NSTP
Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@nstp.com.my


SIASATAN kes rasuah bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman membabitkan kontrak konsesi balak AS$63.3 juta pernah diarahkan ditutup sebelum ini.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, kes berkenaan sudah disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Bagaimanapun atas alasan yang pelik, kes ini diarahkan untuk ditutup... Saya tidak boleh memahami mengapa ia diarahkan tutup.

"Kini ia (kes) dibuka semula... Kami mempunyai kes yang amat kukuh," katanya.

Sri Ram berkata demikian dalam hujahnya ketika menawarkan wang ikat jamin RM5 juta kepada Musa yang didakwa 35 tuduhan rasuah hari ini.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob mengarahkan pendakwaan mempercepatkan penyerahan dokumen mengikut Seksyen 51A kepada pihak peguam bela kerana ia membabitkan saksi dari luar negara.

Sri Ram bagaimanapun berkata, hanya dua saksi dari luar negara akan dipanggil memberikan keterangan.

Ditanya sama ada pihak pendakwaan bersedia untuk menjalankan kes, Sri Ram berkata, "pihak kami sudah bersedia", katanya.

Terdahulu, Amer Hamzah memohon supaya jumlah ikat jamin itu dikurangkan kepada RM1 juta dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama penuh kepada SPRM ketika siasatan dan jumlah itu terlampau tinggi.

Amer Hamzah berkata, pada 23 Ogos lalu Musa yang menerima rawatan di London, pulang ke tanah air untuk membantu siasatan.

Katanya, sebaik tiba di negara ini, anak guamnya terus menghubungi SPRM.

Peguam itu berkata, Musa diserahnkan notis dan sepatutnya hadir ke pejabat SPRM hari ini untuk memberikan keterangan, bagaimanapun tidak mengetahui akan didakwa.

Ditanya Rozina sama ada Musa mempunyai penjamin yang tinggal di Semenanjung, Amer Hamzah memberitahu bahawa salah seorang anak saudaranya yang menetap di Shah Alam akan bertindak sebagai sebagai salah seorang penjamin.

Rozina membangkitkan isu supaya seorang penjamin mesti menetap di Semenanjung kerana menurut hakim terbabit, ia adalah bagi memudahkan urusan mahkamah.

Ditanya Rozina sama ada sanggup untuk menjamin Musa, anak saudara tertuduh yang berada di galeri awam menjawab: "Sanggup".

Sementara itu seorang lagi peguam bela Ridha Abdah Subri memberi jaminan bahawa perintah larangan perjalanan terhadap anak guamnya masih berkuat kuasa, sehubungan itu anak guamnya tidak berisiko untuk melarikan diri ke luar negara.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Rozina membenarkan Musa diikat jamin dengan RM2 juta oleh dua penjamin.

Hakim turut memerintahkan supaya pasport antarabangsa dan pasport diplomatik Musa diserahkan kepada mahkamah.

Rozina mengarahkan wang jaminan RM 1 juta dibayar pada hari ini manakala baki dibayar pada Rabu ini.

Sebagai syarat tambahan, Musa disyaratkan berada di Kuala Lunpur sehingga wang jaminan selesai dibayar.

Hakim Rozina kemudian menetapkan sebutan kes pada 13 Disember ini.

Berita berkaitan:

  • Musa dibenar ikat jamin RM2 juta
  • Musa Aman mengaku tak bersalah [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 6:47 PM