DR Wan Azizah Wan Ismail ketika sidang media selepas Majlis Penutup Persidangan Melestari Kesejahteraan Kanak-kanak, OKU dan Warga Emas sempena Hari Kanak-Kanak, OKU dan Warga Emas. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Azura Abas dan Irwan Shafrizan Ismail

ISU membabitkan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) belum dibincangkan Kabinet secara terperinci, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah memberi jaminan Kabinet akan membincangkan mengenai ratifikasi ICERD dan isu yang timbul serta pandangan dan kebimbangan pelbagai pihak berhubung cadangan berkenaan.

"Belum... kita belum lagi bincang secara terperinci dalam Kabinet; ini kita akan bincangkan," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Persidangan Melestari Kesejahteraan Kanak-Kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas di Pusat Konvensyen AntarabangsaPutrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai protes dilakukan beberapa pihak berhubung cadangan meratifikasi ICERD.

Semalam, dianggarkan lebih 1,500 orang berkumpul di sekitar pekarangan Masjid Jamek, Kampung Baru di ibu kota membantah pengiktirafan ICERD di Malaysia yang dianggap bakal menggugat kepentingan agama dan menghakis hak bumiputera.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad sebelum ini mendakwa, tindakan meratifikasi atau mengesahkan ICERD akan mengakibatkan berlakunya penghapusan kepada hak istimewa yang dimiliki orang Melayu serta anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.

Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy dipetik berkata, Kerajaan Persekutuan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia, termasuk melaksanakan ICERD pada suku pertama tahun depan.

Berita berkaitan:

  • Kerajaan, NGO Islam bakal bincang isu ICERD [METROTV]
  • Kerajaan, NGO Islam bakal bincang isu ICERD [METROTV]
  • Hadi Awang serah memorandum ICERD [METROTV]
  • Kita akan runding dulu...
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 5:30 PM