GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


LELAKI ditemui mati dibunuh di depan kedai di Taman Muda, Pandan Indah, Ampang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya menerima panggilan daripada lelaki yang memaklumkan terdengar bunyi orang bising dan menangis di tempat letak kereta di taman berkenaan kira-kira 4 pagi tadi.

“Berdasarkan maklumat diterima, kami menghantar pasukan rondaan bermotosikal (URB) untuk melakukan pemantauan di lokasi kejadian sebelum menemui mayat lelaki berkenaan berusia 30 tahun.

“Terdapat serpihan botol kaca minuman keras ditemui berhampiran mayat mangsa yang dipercayai digunakan ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Hamzah berkata, mangsa didapati cedera di bahagian belakang kepala dan muka.

“Bagaimanapun, punca kematian masih dalam siasatan dan kami masih menunggu laporan bedah siasat.

“Pada masa sama, kami masih menyiasat motif pembunuhan berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berhampiran selain merakam keterangan saksi.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Syarulnizam di talian 0198032684 bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 10:59 AM