DR Afifi Al-Akhiti dimasyhurkan sebagai pembesar negeri Perak oleh Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang membawa gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan) Negeri Perak pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala kangsar, semalam.
Shaarani Ismail
cnews@nstp.com.my

Kuala Kangsar: Pensyarah Pusat Islam, Universiti Oxford, United Kingdom Datuk Dr Afifi Al-Akhiti dimasyhurkan sebagai pembesar negeri Perak oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam majlis penuh istiadat diraja di Istana Iskandariah, semalam.

Majlis pemasyhuran disempurnakan bagi membolehkan Afifi menerima gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan) Negeri Perak yang baharu.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi serta ahli Exco kerajaan negeri.

Pada istiadat itu, Afifi, 42, memulakan istiadat dengan mengangkat sembah beberapa kali sebelum Setiausaha Dewan Negara Perak membaca pengisytiharan gelaran diikuti laungan daulat sebanyak tiga kali oleh semua tetamu.

Beliau seterusnya bergerak ke hadapan dengan tertib sambil diiringi paluan nobat dan sebaik hampir sampai di hadapan singgahsana tempat Sultan dan Permaisuri bersemayam, beliau duduk bertenggul dan maju ke hadapan dalam keadaan mengengsot.

Sultan Nazrin menghunus Pedang Cura Si Manja Kini dan meletakkan mata pedang itu ke bahu kiri dan kanan Afifi sebelum menyarung kembali pedang itu dan mencucukkan pula Pacak Ketor di kanan tengkolok beliau disusuli menaburkan bunga rampai dan beras kunyit seterusnya menyerahkan keris kuasa dan watikah pelantikan kepada Afifi.

Afifi mengengsot dan berjalan tertib secara berundur sehingga sampai ke tempat permulaan istiadat dan sebaik berpusing mengadap pintu Balairong Seri, bentara menyelubungi kepala beliau dengan kain dan dibawa keluar dari kawasan Istana Iskandariah menaiki kenderaan seterusnya menyeberangi Sungai Perak menuju selatan.

Mengikut aturan istiadat, sebaik melintasi Jambatan Sultan Iskandar, kain yang menyelubungi penerima gelaran dibuka dan menuju ke destinasi dipilih di luar Perak dan perlu menghilangkan diri selama tujuh hari mulai semalam.

Dalam masa tujuh hari menghilangkan diri, penerima gelaran dilarang sama sekali melihat Istana Iskandariah dan wajah Sultan Perak dalam keadaan apa sekalipun, termasuk menerusi gambar, akhbar atau Internet.

Selepas seminggu dan tempoh larangan itu tamat, penerima gelaran menghadap kembali Sultan Perak yang merenjis tepung tawar dan air mawar bagi menandakan istiadat menjunjung duli itu selesai.

Istiadat Menghadap selepas menghilangkan diri, ibarat melepaskan pantang yang terikat pada penyandang gelaran dengan masa dan tempat tertakluk kepada perintah dan perkenan Sultan Perak.

Lantikan dan pengurniaan gelaran kepada Afifi itu diperkenankan Almarhum Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah pada Disember 2011.

Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2017 ini pernah mendapat pengiktirafan dunia apabila fatwa ditulisnya menjadi rujukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 10:29 AM