GAMBAR hiasan.
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


EMPAT kakitangan Jabatan Perhutanan Terengganu yang mahu membawa keluar jengkaut disita berdepan detik cemas apabila dihalang ahli kumpulan pembalakan haram yang bersenjatakan parang dalam kejadian di Hutan Santong, Paka, Dungun, malam tadi.

Dalam kejadian 7.05 malam itu, ahli kumpulan berkenaan turut membuat kacau dengan membaling guni yang dibakar ke arah jengkaut dipercayai bagi menghalang mereka membawa keluar jentera itu dari hutan berkenaan.

Empat kakitangan terbabit masuk ke dalam hutan untuk proses membawa keluar jengkaut yang disita pada Khamis lalu kerana aktiviti pembalakan haram.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, empat mangsa kemudian didatangi lima lelaki menunggang tiga motosikal dari dalam hutan dengan dua daripada suspek dikenali mangsa.

Beliau berkata, salah seorang suspek yang tidak dikenali membaling guni yang dicucuh api ke atas jengkaut disita agensi berkenaan sebelum itu.

“Salah seorang kakitangan agensi berkenaan berusia 45 tahun (pengadu) keluar dari kenderaan untuk memadam api itu, namun seorang suspek yang bersenjatakan parang mengugut agar tidak menghalang apa yang mereka lakukan sambil melibas senjata itu ke arah mangsa.

“Tidak mahu memanaskan keadaan di situ, mangsa berundur sebelum semua suspek meninggalkan lokasi kejadian tidak lama kemudian dan api berjaya dipadam kakitangan itu.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek selepas jentera mereka disita Jabatan Perhutanan Terengganu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Baharudin berkata, jentera berkenaan masih berada di lokasi kejadian dan tidak boleh dibawa keluar kerana mengalami kerosakan sebelum satu laporan dibuat di Balai Polis Paka untuk tindakan lanjut.

Katanya, usaha memburu suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 10:14 PM