CHRISTINA mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan mengugut dan mencederakan rakan serumahnya menggunakan pisau. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


PEKERJA salun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan mengugut dan mencederakan rakan serumahnya menggunakan pisau gara-gara bengang ditegur agar menjaga kebersihan dapur.

Tertuduh, Christina Foo Yen Nie, 22, dari Kemaman mengangguk faham sebelum mohon dibicarakan ketika dua pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 324 KK kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Nurbati, 43, di rumah di Wisma Yien Tien Jalan Balik Bukit, Kuala Terengganu, pada 8.18 malam 29 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan sebilah pisau pemotong kertas terhadap mangsa di alamat, waktu dan hari sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 22 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dusntan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, NSTP melaporkan seorang wanita cedera di lengan kiri akibat ditoreh dengan pisau oleh rakan serumahnya selepas menegur wanita berkenaan agar menjaga kebersihan dapur rumah sewa mereka.

Dalam pertengkaran itu, suspek turut mengacukan pisau ke leher mangsa sebelum menoreh lengan kiri mangsa sehingga berdarah.

Suspek dikatakan bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan mangsa selepas ditegur supaya menjaga kebersihan dapur rumah sewa itu dan tidak meninggalkan sisa makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 5:01 PM